Friday, February 13, 2009
KRISIS PERAK : Wawancara Bersama Menteri Besar Ir Nizar
"Saya tidak akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak selagi mahkamah tidak memutuskan kedudukan tiga ADUN yang telah menyertai parti Bebas. " "Ini bukan bermaksud saya menderhaka kepada pihak istana tetapi saya menghormati undang - undang tubuh negeri Perak yang telah termaktub dalam perlembagaan." Kata Menteri Besar Perak, Ir. Nizar Jamaluddin. Menurut Nizar, pihak istana hanya boleh mencadang perletakan jawatan tetapi tidak berkuasa untuk memaksa seseorang Menteri Besar untuk berbuat demikian kerana ia tertakluk kepada perlembagaan. Berdasarkan undang - undang tubuh kerajaan negeri Perak perletakan jawatan Menteri Besar tertakluk kepada tiga peruntukan. Pertama, kerelaan Menteri Besar setelah diarahkan oleh Sultan. Keduanya Speaker mengisytiharkan DUN dibubarkan dan Menteri Besar akan gugur jawatannya dengan sendiri dan ketiganya melalui undi tidak percaya di DUN dengan sokongan dua pertiga majoriti. Menyentuh mengenai kemelut yang sedang melanda Perak, Nizar berkata insiden ini bermula selepas beliau dipanggil mengadap Sultan Perak. "Pada 4 Februari lalu saya telah datang untuk mengadap Baginda Sultan Perak dengan membawa surat untuk membubarkan DUN negeri disebabkan terdapatnya beberapa keadaan yang membolehkan saya diberi kuasa untuk melakukan hal demikian. " "Kemudian Baginda Sultan memberitahu supaya saya menunggu keputusan tersebut ekoran istana akan membincangkannya berdasarkan pelbagai aspek." "Pada keesokan harinya Sultan telah berjumpa dan mengadakan pertemuan dengan BN termasuk Pengerusi Perhubungan Negeri, Najib Razak, 28 ADUN BN dan tiga ADUN Bebas (Behrang, Changkat Jering dan Jelapang)." Ujar Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang. Kata Nizar, setelah itu beliau sekali lagi dipanggil untuk mengadap Baginda Sultan. "Tuanku memberitahu saya bahawa Baginda tidak setuju dengan pembubaran DUN dan menasihatkan beliau melepaskan jawatannya." "Saya kemudiannya memaklumkan baginda Sultan bahawa kedudukan ADUN BN dan Pakatan Rakyat seimbang iaitu 28 Pakatan, 28 BN dan tiga kerusi Bebas. Tetapi malangnya Baginda Sultan tetap dengan pendirian Baginda untuk tidak membubarkan DUN." Jelas Nizar. Menurut Nizar beliau berasa amat malang kerana pada keesokan harinya (6hb Februari 2009), BN bertindak mengumumkan MB baru yang dianggap Pakatan sebagai haram dan tidak sah. Menurut Nizar beliau dan barisan peguam dari Pakatan Rakyat akan mencabar perlantikan MB baru BN yang diumumkan pada 6 Februari lalu kerana lantikan tersebut didasari oleh amalan tidak bermoral serta menyalahi undang - undang. "Saya dan peguam - peguam Pakatan Rakyat akan mengemukakan saman kepada BN negeri dan MB BN yang baru dilantik kerana tindakan mereka ternyata melanggari peraturan dan undang - undang tubuh kerajaan negeri Perak. Menurut Nizar, beliau kesal kerana BN berselindung dan mempergunakan institusi istana untuk kepentingan politik sempit mereka. "Dalam keadaan sekarang UMNO - BN semakin terdesak dalam survival politik mereka yang semakin ditolak oleh rakyat akan melakukan pelbagai helah dan sanggup memperkudakan sesiapa sahaja untuk meneruskan kuasa yang masih berbaki." "Inilah antara beberapa sebab yang menyebabkan mengapa kerajaan BN sekarang takut untuk mengadakan pilihanraya kecil setelah melihat kebangkitan rakyat pelbagai kaum di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu." "Mereka tahu sekiranya dibuat pilihanraya mereka akan ditolak oleh rakyat sebagaimana di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu." Jelas Nizar. Beliau yang mempunyai lapan anak berkata Pakatan Rakyat akan tetap menggunakan saluran perlembagaan sedia ada untuk mempertahankan hak rakyat yang telah memberi amanah kepada kita dalam pilihanraya lalu. "Kita yakin dan percaya perlembagaan yang ada masih mampu didaulatkan sekiranya semua pihak berusaha untuk mempertahan kedaulatan perundangan negeri dan perundangan negara." "Atas dasar ini saya menggunakan saluran mahkamah untuk menjelaskan sebarang kedudukan supaya diputuskan berdasarkan keadilan dalam konteks kedaulatan undang - undang terutamanya berhubung perlantikan MB dan kes ADUN yang menyertai Bebas. " Ujar Nizar. Berhubung dua ADUN Keadilan yang telah menghantar surat perletakan jawatan, Nizar berkata hal tersebut telah diambil tindakan oleh Speaker Dewan untuk mengosongkan dua DUN terbabit. Kata beliau, Speaker juga telah menghantar surat kepada SPR untuk diadakan pilihanraya di DUN Changkat Jering dan Behrang tetapi ditolak oleh suruhanjaya tersebut kerana mendapati surat perletakan jawatan tersebut masih samar. "Adalah tidak wajar SPR tidak membuat keputusan untuk diadakan pilihanraya kerana Baginda Sultan Perak tidak melihat surat tersebut sebagai 'samar' kerana surat tersebut telah ditandatangani oleh dua ADUN terbabit." "Ekoran itu Speaker DUN telah memfailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membolehkan mahkamah menetapkan ketiga - tiga ADUN terbabit." Ujar Nizar lagi. Dalam memperkatakan persoalan cabaran yang sedang dihadapi Pakatan Rakyat terhdapa UMNO - BN yang memperlihatkan amalan politik tidak bermoral sejak kebelakangan ini, Nizar berkata Umno sudah tidak mempunyai jalan keluar untuk menyelamatkan parti mereka dan terpaksa menggunakan kaedah 'tidak halal' untuk mempertahankan parti mereka. "Pemimpin - pemimpin Umno telah cuba berkali - kali menghidupkan isu perkauman ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dengan mengheret isu 'Cina menumpang' yang menyebabkan beberapa orang ditangkap termasuk wartawan di bawah ISA." "Di Perak pula BN cuba mempotretkan imej Pakatan Rakyat bahawa ADUN Pakatan dari keturunan Cina adalah DAP. Asal Cina sahaja dianggap DAP sedangkan dalam Keadilan juga ada wakil dari keturunan Cina." "Kemudian mereka mendakwa kerajaan Pakatan di Perak menjadi boneka DAP. Ini ternyata tidak benar. Setelah isu ini tidak berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat sebaliknya rakyat berbilang kaum di sini masih utuh memberi sokongan kepada Pakatan menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kaedah lain." Kata Nizar. Menurut Nizar lagi, apabila isu tersebut gagal untuk mencapai kepentingan politik sempit mereka maka kali ini mereka mengheret dan cuba pula untuk memperkuda institusi istana. "Bagi Najib pula isu pakej rangsangan ekonomi yang melibatkan wang negara berjumlah RM 7 Billion pula dijadikan sandaran dan modal untuk menghalalkan pelbagai bentuk sogokan berupa pemberian tender atau projek - projek kepada sesiapa sahaja bagi mendapatkan kuasa." Jelas Nizar lagi. "Krisis perlembagaan yang melanda Perak sekarang sememangnya sengaja dimanipulasi oleh BN serta media milik mereka untuk mengelak rakyat memahami situasi sebenar." "Pemimpin BN sememangnya tidak mahu rakyat memahami hal - hal perlembagaan kerana sekiranya rakyat cerdik dan tahu hal sebenar, rakyat akan menyalahkan mereka." "Situasi ketidakfahaman rakyat ini membolehkan mereka memanipulasi pelbagai isu sebagaimana yang sedang dihadapi oleh negeri Perak sekarang." Jelas ADUN Pasir Panjang itu. Menurut beliau lagi, disebabkan beliau telah memohon pihak istana untuk membubarkan DUN dan pihak Tuanku tidak mengizinkannya maka diri beliau dianggap telah menderhaka kepada Sultan. "Begitu juga dengan isu perletakan jawatan saya sebagai MB yang mana undang-undang tubuh kerajaan Perak mengizinkan saya untuk tidak meletakkan jawatan apabila terdapat beberapa prosedur yang masih belum diputuskan oleh mahkamah." "Ini yang saya maksudkan mengapa BN tidak mahu menjelaskan isu perlembagaan kepada rakyat sedangkan mereka mempunyai saluran media yang banyak." Kata Nizar. Katanya, kebangkitan rakyat Perak yang sanggup turun di jalanan untuk menyatakan protes kepada BN dan menyokong Pakatan merupakan sesuatu yang harus dilihat sebagai satu usaha kebangkitan yang tidak dirancang. "Kami dalam Pakatan tidak pernah mengajak rakyat untuk turun ke jalanan bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat." "Perak selama ini telah mencatatkan pelbagai sejarah kebangkitan seperti kebangkitan Islam dan kebangkitan orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu." "Semangat dan kebangkitan rakyat kali ini nampaknya seolah - olah mengulangi kembali semangat pejuang orang Melayu dan orang Islam untuk mempertahankan hak mereka apabila dicabar dan diabaikan." Jelas anak jati Perak itu. "Media dan pemimpin Umno cuba memperdaya rakyat dengan menuduh saya menderhaka kerana mengajak rakyat untuk menyatakan bantahan mereka terhadap BN di jalanan sedangkan kedatangan rakyat membanjiri Ipoh adalah atas kesedaran dan kerelaan mereka sendiri." NOTA: Memandangkan 20,000 naskah Suara Keadilan telah dirampas KDN maka Laman Marhaen menyiarkan wawancara ini untuk tatapan para pembaca.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment