Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan beliau kepada media pada 28 Januari 2006 telah menyatakan pendirian selaku pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 (AUKU) terus dikekalkan tanpa memansuhkannya. Beliau menyatakan pendirian tersebut selepas sekumpulan mahasiswa yang mendesak agar AUKU ini perlu dihapuskan dan termasuk PKPIM yang mewakili pelajar Islam seluruh Malaysia secara langsung bersuara dalam menyatakan pendirian kepada AUKU. AUKU yang mengandungi lima bahagian dan 27 seksyen memperuntukkan pelbagai pasal berhubung universiti dan kolej Universiti. AUKU juga memperuntukkan pelbagai bidang kuasa termasuk srtuktur organisasi Universiti dan Kolej universiti, etika dan disiplin pelajar serta beberapa lagi perkara yang dilihat penting di dalam memastikan perjalanan universiti terus licin dan sejajar dengan matlamat panubuhan universiti. Melalui kuasa yang diperuntukkan di dalam AUKU, sejak tahun 2000 hingga Disember tahun lalu, terdapat lebih 1700 pelajar dilaporkan melanggar AUKU dengan disabitkan kes meniru sewaktu peperiksaan, menipu, khalwat, berdemonstrasi dan mencuri. AUKU juga yang digubal pada tahun 1971 telah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 1975 dan 1983 bagi memastikan AUKU terus relevan mengikut keperluan semasa. Di dalam AUKU terdapat beberapa seksyen yang jelas mengekang dan menyekat mahasiswa malahan universiti. Antara Seksyen tesebut termasuklah seksyen 15 dan 16. Di dalam seksyen 15 (1) menyatakan bahawa tiada siapa jua, semasa menjadi seorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli atau dengan apa-apa cara bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan, badan atau kumpulan. Di dalam konteks semasa, peruntukkan kuasa seksyen ini telah tidak begitu relevan di saat Malaysia yang tumbuh dengan pelbagai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan belia. Setiap NGO dan persatuan belia ini pastinya memerlukan tenaga muda terutama pada mahasiswa, kerana mahasiswa tidak pada punya daya pada tenaga, tetapi kepada pengupaayaan intetelek untuk menggerakkan persatuan dan masyarakat. Di dalam isu yang lebih terkini, kerajaan di bawah usaha kementerian belia dan sukan yang merangka Akta Belia 2005 dan akan dibentangkan di parlimen tidak lama lagi. Akta Belia 2005 secara khusus telah memperuntukkan pelajar terlibat secara langsung di dalam pertubuhan berdaftar terutama persatuan belia. Akta ini secara jelas telah bercanggah dengan AUKU seksyen 15(1). Seksyen 15(3) pula menyatakan tiada sesiapa jua, semasa menjadi pelajar Universiti boleh menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau pertubuhan atau kumpulan haram Seksyen 15 (5) memperuntukkan kepada sesiapa yang melanggar peruntukkan seksyen kecil (1), (2), (3) atau (4) adalah bersalah atas kesalahan dan boleh disabitkan, dikenakan denda tidak lebih seribu ringgit atau penjara selama tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Seksyen 16 dan beberapa seksyen yang lain boleh dikritik dengan memberikan datu bidang kuasa yang luas kepasa Naib Cancelor dan Menteri sehingga dirasakan boleh berlaku kemungkinan penyalahgunaan kuasa. Di dalam seksyen 16 umpamanya, kuasa Naib cancelor menggantung atau membubarkan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar. Di dalam aspek sejarah, AUKU digubal sepertimana yang diungkap oleh Muhammad Abu Bakar di dalam buku yang ulung membicarakan perjuangan mahasiswa: Mahasiswa Menggugat (1975), menyatakan bahawa AUKU adalah merupakan satu konotasi kesan daripada kelantangan dan keterlibatan pelajar secara langsung dengan isu-isu kenegaraan yang sememangnya menggentarkan pihak pemerintah. Malah kecenderungan pelajar menyokong pihak pembangkang terutamanya pada pilihanraya 1969 benar-benar menggusarkan kerajaan yang akhirnya melahirkan AUKU. Dalam hal ini Dr. Wan Abdul Rahman Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia pernah menjelaskan dalam satu forum yang bertajuk “Masyarakat Kampus Dan Permasalahannya” pada 4 Ogos 1990, “Perlaksanaan Akta ini merupakan parut hitam d dalam sejarah kebebasan akademik di Malaysia. Semenjak itu, ternampaklah bibit-bibit kelumpuhan budaya universiti yang sebelum ini mempunyai semacam solidariti dalam aktiviti-aktivitit mahasiswa.” Seperti yang dijelaskan sebelum ini, sabelum AUKU, penglibatan pelajar dan mahasiswa dalam arena politik negara agak meluas. Pemimpin-pemimpin pelajar dengan berani dan lantang mengkritik kelemahan dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di atas pentas umum, kenyataan akhbar mahupun melalui manifesto di dalam pilihanraya-pilihanraya umum. Sejak AUKU dikuatkuasakan kehidupan mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi dikawal secara khusus oleh Kaedah Tatatertib Pelajar (1975). Pelbagai bahagian di dalam akta ini yang secara langsung mengongkong kebebasan pelajar yang selama ini dikecap oleh mereka. Malah penyertaan pelajar dengan poltik, aktiviti-aktiviti luar kampus dan persatuan luar turut dibataskan. Persoalan pokok yang ingin dilontarkan adalah kesan AUKU selepas hampir empat dekat perlaksanaannya. Di dalam makalah ini telah digariskan beberapa kesan langsung akibat penguatkuasaan AUKU ke atas pelajar dan gerakan mahasiswa umumnya. Antaranya : Nilai-nilai individualistik dan materialistik samakin merata dan menebal di kalangan pelajar. Rata-rata bertanggapan universiti tidak labih daripada menara gading buat mendapat segulung ijazah dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik semata-mata. Malah semakin terhakis nilai-nilai untuk memikirkan apa yang berlaku kepada masyarakat luar apatah lagi untuk menilai perkembangan politik semasa yang boleh mempengaruhi masa depan dan nasib bangsa. Budaya takut atau ‘culture of fear’ mula mencengkam masyarakat pelajar. Masing-masing memikirkan masa depan dan nasib sekiranya mereka malanggar AUKU. Budaya ini akhirnya menyebabkan mahasiswa terus takut untuk mencuba, menyoal, mengkritik dan mengemukakan idea serta gagasan baru ke dalam masyarakat. Ini ditambah dengan ancaman pelbagai undang-undang di luar kampus yang seakan sama sifatnya dengan AUKU telah digubal atau dipinda oleh pemerintah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan. Tekanan dan prejudis pihak pentadbir kepada pelajar yang agak kritikal turut meransang perasaan takut di kalangan mahasiswa.Tidak ada lagi slogan ‘Mahasiswa Jurubicara Masyarakat’ kerana mereka sudah tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka atau hilang upaya untuk melakukan sesuatu. Masyarakat lebih yakin kepada kumpulan lain seperti parti politik untuk menyelesaikan masalah mereka. Penumpuan kegiatan pelajar hanya sekitar kampus sahaja. Pelajar-pelajar hanya berminat menyertai program-program bersifat rekreasi, sukan dan bersifat hedonistik. Hanya segelintir kecil yang masih bersemangat untuk mengikuti program-program pembangunan intelektual yang membincangkan isu-isu semasa mahupun berbentuk ilmiah. selanjutnya
Saturday, November 8, 2008
AUKU Terbukti Menghalang Kecemerlangan Mahasiswa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment