KOTA BHARU, 21 Dis - Kemunculan Khairy Jamaludin pada Wacana Perdana anjuran kerajaan Kelantan di sini malam tadi, seakan-akan melengkapkan cabarannya untuk menghampiri jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada Mac depan. Mungkin pertama kali dalam sejarah apabila seorang pemimpin muda Umno berani tampil ke pentas PAS (kerajaan negeri) yang disendatkan dengan ribuan penyokong. Malah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu menyifatkan ia sebagai satu transformasi baru apabila beliau dijemput kerajaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir pada satu wacana politik. "Ini menggambarkan sikap keterbukaan kerajaan Tok Guru Nik Aziz. Keterbukaan ini sesuatu yang cukup matang dan ia boleh digambarkan inilah transformasi baru politik di negara ini. "Sememangnya saya mengakui tsunami politik melanda negara pada Mac lalu. Rakyat sekarang dilihat mempunyai kecederongan untuk mempunyai dwiparti di negara ini," katanya pada wacana tersebut. Program itu dianjur Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. Dua layar besar terpaksa disediakan pihak penganjur di luar dewan memandangkan Dewan Besar Balai Islam penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Kedatangan Khairy turut disambut dengan laungan takbir orang ramai. Malah ramai penyokong Khairy memenuhi bahagian depan dewan, yang lengkap berpakaian baju putih. Suasana agak panas berlaku pada pusingan kedua sehingga keadaan kurang terkawal apabila panelis Dato' Husam Musa dan Khairy masing-masing mahu menegakkan hujah dalam masa yang serentak. Namun, moderator dari UKM, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berjaya mengawal keadaan. Seorang lagi ahli panelis iaitu pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari. Dr Agus yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM ada ketikanya kelihatan terpaksa tunduk kepada kehendak panelis terutamanya ketika pusingan kedua. Sikap terbuka dipamerkan malam tadi, tidak seperti ketika mengendalikan program Hujah di TV9 dengan memberi ruang kepada mana-mana panelis mencelah ketika ahli panel lain sedang berhujah. Ramai berpandangan situasi itu tidak sepatut dibiarkan. Keadaan itu digunakan sepenuhnya Husam dan Khairy sehingga meninggalkan Dr Aziz yang cuba mempamerkan sikap berkecuali dalam wacana tersebut, sebagai ahli akademik. Ketika pusingan ketiga, penonton mengambil kesempatan untuk menghangatkan lagi wacana apabila dibuka ruang untuk bertanyakan soalan. Ramai tampil menggunakan kesempatan terbabit. Hanya seorang Pemuda Umno dari Bachok yang merebut peluang tersebut dengan mengajukan soalan kepada Husam mengenai cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disifatkan seperti cuba menggadai ketuanan Melayu. Hadir sama pada wacana itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan wakil-wakil rakyat.
Tuesday, December 23, 2008
Menantu Pak Lah Akui PAS Matang Berpolitik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment