KUALA LUMPUR - Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) kesal dengan tindakan urusetia pilihanraya kampus di universiti tersebut menukar nombor dua calon kumpulan tersebut dalam kertas pengundian dalam pemilihan hari ini, tanpa pengetahuan mereka.
Seorang daripadanya adalah Shah Rizul Ayuni Zulkiply yang sebelum ini membuat laporan polis, mendakwa dia cuba disogok supaya bertanding bagi pihak universiti dalam pilihanraya kampus hari ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini, wakil beliau, Nurfariza Zahrin berkata, dalam kertas undi, Ayuni pada asalnya merupakan calon bilangan ke-17.
Berikutan itu, katanya, mereka berkempen berdasarkan kedudukan nombor Ayuni pada kertas undi.
“Ini kerana kempen dibuat mengikut nombor undi calon kerana ia mudah diingati oleh pelajar yang akan mengundi hari ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Oleh itu, katanya, pertukaran nombor tersebut boleh menyebabkan pengundi yang mahu mengundi Ayuni, boleh tersalah pangkah calon.
Timbul tanda tanya
Apabila pengundian bermula pagi tadi, beberapa penyokong pro-Mahaiswa menyedari nombor bilangan Ayuni ditukar ke nombor 18 yang sebelum ini merupakan nombor bilangan calon lawan, pro-Aspirasi.
Nurfariza berkata, seorang lagi calon mereka dengan nombor bilangan 16, turut dianjak satu unit ke depan.
Bagaimanapun, tambah beliau, calon itu tidak menghadapai masalah kerana ia adalah nombor asal Ayuni.
“Pertukaran ini menimbulkan tanda tanya,” kata Nurfariza.
Menurut Nurfariza lagi, nombor-nombor calon telah termaktub dalam Borang 8 - yang dikeluarkan selepas selesai penamaan calon.
Borang 8 merupakan borang rasmi yang mengesahkan calon-calon bertanding serta nombor bilangannya.
Kata Nurfariza, perkara itu juga dijamin dalam buku peraturan pilihanraya kampus yang dikeluarkan pihak universiti.
Mahu jumpa TNC
Sehubungan itu, Nurfariza berkata, kumpulan pro-Mahasiswa bercadang mengadukan perkara itu kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya, Dr Azarae Idris.
Pengerusi pro-Mahasiswa Norazali Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya cuba mengadakan pertemuan dengan Azarae sebelum jam 1 tengah hari ini.
Ditanya sejauhmana tindakan mengejut pihak universiti itu boleh menjejaskan peluang calon-calonnya, Norazali berkata, pelajar yang mengundi mengenal calon mereka berdasarkan nombornya.
“Mereka tidak dapat ingat semua nama kerana banyak kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
Pilihanraya kampus UM hari ini mempertandingkan 41 kerusi - sembilan kerusi umum dan 32 kerusi fakulti.
Pro-Mahasiswa kini menguasai 11 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan di universiti berkenaan.-malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment