Tiga hari kebelakangan kita didedahkan oleh sebuah akhbar tempatan, KOSMO! Ahad, berkaitan satu isu yang sangat mencemarkan imej institusi dan juga kualiti pendidikan Negara iaitu aksi ‘panas’ atau ‘lucah’ pelajar sebuah sekolah di Terengganu.
Sudah tentu khabar ini bukan sesuatu yang kita harapkan daripada pelajar-pelajar sama ada di peringkat rendah, menengah atau pun di peringkat pengajian tinggi. Sebaliknya apa yang kita harapkan ialah institusi pendidikan di Negara kita dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan baik dari segi peribadi dan akhlaknya. Selain itu, kita dapat melihat fenomena ini berlaku dengan pantas dan meluas sekali seiring dengan kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini. Untuk makluman umum, pendedahan yang dibuat oleh wartawan akhbar tersebut bukanlah yang pertama kali, sebenarnya dah berkali-kali. Namun, apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak berwajib khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)? Perkara ini pun telah diakui sendiri oleh KPM melalui Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail ketika ditanya berhubung isu ini dan beliau telah menyatakan bahawa pihak kementerian ada menerima beberapa aduan daripada orang ramai. “Kita memang menyiasat setiap aduan yang sampai kepada kita, kita tidak ambil mudah kerana ia melibatkan anak bangsa kita sendiri.” Katanya. Justeru itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sebagai sebuah NGO Islam yang berdaftar berasa bertanggungjawab terhadap isu ini dan akan memberi kerjasama yang terbaik dengan Kementerian Pelajaran dalam usaha bersama menangani dan mengubati ‘barah sosial’ yang kian melanda muda-mudi kita pada hari ini. Dengan itu, pihak GAMIS ingin mencadangkan beberapa cadangan kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera dalam menangani gejala negatif ini iaitu: 1) Mengurangkan karenah birokrasi dalam menyiasat dan menangani masalah ini. Kita sedia maklum bahawa rakaman dan penyebaran klip video lucah sangat merbahaya dan mendatangkan kesan yang negatif para pelajar seperti ketagihan menonton video lucah, melakukan seks oral, terjebak dalam jenayah zina dan terdedah kepada jangkita virus HIV/AIDS. Jadi, kita sudah ada bukti yang jelas, maka tindakan undang-undang perlu segera diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat tanpa perlu menunggu proses birokrasi yang sangat menyulitkan. 2) Pihak kerajaan juga perlu menggubal segera undang-undang yang tegas dan berat bagi mengharamkan segala bentuk cubaan untuk merakam, menghasilkan dan menyebarkan klip video lucah di dalam masyarakat tempatan. Selain itu, kerajaan juga perlu mengharamkan dan menyekat laman-laman web lucah, majalah-majalah lucah, dan jualan cakera padat VCD/DVD lucah yang berlambak di pasaran ketika ini. 3) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu mengkaji semula modul pendidikan Negara yang pada saat ini dilihat gagal melahirkan modal insan yang kental dan mempunyai jati diri yang kuat agar para pelajar kita tidak mudah terjebak dengan budaya-budaya yang tidak sihat. 4) Penerapan pendidikan Agama mestilah ditekankan betul-betul oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan menghalang penularan budaya ‘hedonisme’ di kalangan pelajar. Pendidikan Islam yang sebenar mampu melahirkan jati diri Muslim yang sempurna dari segi akademik, peribadi dan akhlaknya. Sebaliknya, sudah terbukti bahawa budaya ‘hedonisme’ melampau merupakan punca utama berlakunya gejala social dikalangan remaja kita. 5) Pihak kerajaan juga disarankan agar kembali memberikan kuasa autonomi kepada pihak guru dan pihak pentadbiran sekolah untuk mengambil tindakan tegas kepada pelajar-pelajar yang bermasalah. Akhir sekali, pihak GAMIS menyeru kepada semua pihak baik kerajaan, swasta, NGO, individu, dan juga ibu bapa agar bersama-sama menangani isu ini dengan hikmah dan bijaksana.Masing-masing mempunyai peranan tertentu yang boleh dititikberatkan dan diambil tindakan yang efektif untuk menyekat ‘gejala’ tidak sihat ini daripada terus menular dalam masayarakat kita khususnya dikalangan para pelajar.Pihak GAMIS sekali lagi menyatakan kesudian kami untuk berbincang secara lebih serius dengan mana-mana pihak yang berminat dalam usaha untuk mengangani isu ini. Oleh : Mohd Ridhwan Bakar (Ahli MT GAMIS)
No comments:
Post a Comment