Saya telah menjalankan tugas selaku Bendahari Agung PMIUM selama hampir lapan bulan dan tinggal baki hanya sekitar empat bulan sahaja lagi.Masa berlalu cukup pantas. Saya bersyukur dengan projek-projek persatuan yang telah berjaya dilakukan.Baki beberapa lagi projek yang sedang dirancang moga-moga akan berjaya dilaksanakan sebelum saya dan teman-teman pimpinan yang lain meletakkan jawatan. Saya berdoa agar projek LAKIUM,OPKIM Eid Adha, OPKIM Desa dan SIDANA khususnya berjaya direalisasikan.Alhamdulillah kelulusan (selain LAKIUM) telah berjaya diperolehi walaupun peruntukan HEPA agak kecil dan menyedihkan.RM200 dan RM400 untuk OPKIM Eid Adha dan OPKIM Desa. Apapun, saya bersyukur. Apabila dilantik menjawat jawatan ini, saya nekad untuk memfokuskan kepada dua agenda utama.Pertamanya projek-projek persatuan mestilah berjaya dengan cemerlang tanpa sebarang masalah kewangan.Keduanya adalah ahli persatuan mestilah mampu membudayakan diri dengan keusahawanan. Agenda pertama bersifat jangka pendek dan yang keduanya bersifat jangka panjang. Saya masih berpuas hati dengan pencapaian agenda pertama namun yang kedua tidak. Keghairahan ahli persatuan (mahasiswa Islam) dalam soal keusahawanan amatlah mendukacitakan.Ahli-ahli PMIUM bercakap tentang isu pegangan ekuiti Bumiputera di Malaysia yang rendah namun tiada tindakan bersepadu yang dibuat untuk memperbaiki keadaan itu. Mereka mengharapkan bahawa ‘orang lain‘ yang akan berjuang di lapangan ekonomi.Mereka tidak sedar bahawa ‘orang lain’ yang diharapkan itu juga mengharapkan ‘orang lain’ untuk terlibat dalam bidang itu.Akhirnya yang terlibat dalam membangunkan ekonomi umat Islam di Malaysia adalah anak-anak Melayu yang tidak mendapat pendidikan tinggi dan tiada jalan lain untuk mendapat duit melainkan terpaksa berniaga. Soal kedudukan ekonomi Bumiputera bukanlah tanggungjawab di pundak kerajaan yang memerintah semata-mata.Kerajaan boleh melaksanakan dasar-dasar tertentu namun dasar-dasar itu tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa penglibatan secara bersungguh dari Bumiputera. Gerakan Mahasiswa Islam adalah aktivis barisan hadapan yang seringkali bercakap tentang pelbagai isu. Bercakap memang mudah kerana ia hanyalah melibatkan air liur dan peluh semata-mata.Dalam jangka masa panjang, segala-galanya memerlukan duit yang banyak untuk membuat sesuatu perubahan.PMIUM telah berusia hampir 52 tahun namun persatuan ini masih belum ada premis sendiri (misalnya yang didaftarkan atas nama alumnus kerana dalam kampus AUKU masih mengekang). Persepsi ahli persatuan tentang budaya keusahawanan perlulah progresif.Saya hairan juga , keadaan ekonomi yang melambung dengan inflasi ini langsung tidak menyedarkan ahli-ahli persatuan untuk mula berniaga.Tidak dinafikan ada yang berbuat demikian namun bilangan mereka amatlah sedikit. Lapangan perniagaan tidak hanya menanti mahasiswa-mahasiswa jurusan perakaunan,perniagaan dan ekonomi semata-mata.Sebaliknya semua jurusan termasuk perubatan dan kejuruteraan. Tun Mahathir adalah doktor, namun pengalamannya yang pernah menjaja di Pekan Rabu pada usia remaja menimbulkan minat dan pengamatan yang mendalam dalam soal ekonomi.Sebab itu dasar-dasar yang dibentuknya semasa memimpin Malaysia cukup progresif dalam membangunkan ekonomi rakyat dan negara walaupun tidak sepenuhnya berjaya. Mahu bangunkan ekonomi umat Islam tidak hanya boleh diselesaikan melalui desakan seperti demonstrasi dan sebagainya.Namun, melalui kesungguhan dalam diri sendiri untuk belajar-dan belajar tentang kusahawanan sedikit demi sedikit. Harapan saya, mulalah berniaga. oleh: Mohd Hasbie Muda Bendahari Agung PMIUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment