Pulau Pinang 25 Oktober - Pro Mahasiswa (Pro M) USM mencadangkan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) untuk mempertimbang banyak hal ketika mengulas isu Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di sini. Ini kerana, tidak adil sekiranya bekas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) Universiti Malaya tersebut hanya menjustifikasi tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sahaja dianggap melanggar semangat Perlembagaan dan undang-undang negara. Sedangkan, Kerajaan Persekutuan telah meminggirkan peranan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan dalam sistem pengajian Sains dan Matematik di peringkat rendah dan menengah sebelum ini. Selain itu, Kerajaan Persekutuan sebelum ini turut meruntuhkan perjuangan Dr. Nik Safiah Karim dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar bahasa Melayu digunakan dalam sebutan baku pada awal tahun 2000. Tambahan lagi, bekas Menteri Penerangan Malaysia a.k.a Pengerusi UMNO Bahagian Merbok pernah mendesak agar terminologi bahasa Melayu ditukar pada bahasa Malaysia walhal desakan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan, disiplin ilmu dan rasional. Pro M juga mengajak semua pihak mencontohi dasar Kerajaan Negeri Kelantan yang bukan sahaja memulihara kedudukan bahasa Melayu, malah mengangkat semula fungsi dan status tulisan jawi sebagaimana sebelum ini yang menjadi identiti bangsa dan negara. Sekiranya pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan identiti baru ini sekadar menyuburkan kemajmukan rakyat Malaysia tujuan pembangunan industri pelancongan; dan bukan untuk membelakangkan bahasa Melayu aka Kebangsaan sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia; maka Pro M menyeru semua pihak melihat pembaharuan tersebut secara positif dan sihat. Pro M juga memuji sikap lantang Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan GAPENA sendiri kerana senantiasa peka dan konsistan dalam memperjuangkan kelestarian bahasa Melayu dalam negara. Pro M yakin bahawa kepelbagaian adalah suatu nilai kemajmukan dan keunikan bangsa Malaysia, bukan untuk perbalahan dan sengketa sesama kita. ProMahasiswaUSM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment