"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." ( al-Qur'an,al-Hujurat ( 49 ):6 ).

WEB TV@ Mahasiswa Malaysia


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com

Thursday, November 20, 2008

Kenyataan Media Kelab Penyokong Kedah... HAL BOLA HIJAU KUNING


"Pendirian Kelab Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah Darul Aman - HijauKuning.com (HKC) Berhubung Status Dato' Othman Aziz Selaku Pengurus Pasukan Liga Super Kedah
Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa, kami Kelab Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah (HKC) di pihak yang mewakili ribuan penyokong pasukan bola sepak Liga Super Kedah yang berada di seluruh Malaysia ingin menyatakan pendirian bahawa kami sama sekali tidak menyokong tindakan Dato' Othman Aziz menarik balik peletakan jawatannya dan kekal sebagai pengurus pasukan Liga Super Kedah bagi saingan musim 2009. Hal ini kerana:
1. Dato' Othman Aziz seharusnya direhatkan daripada tugasnya selaku pengurus pasukan kerana masih di dalam siasatan pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebanyak RM280,000 ke atasnya. Keputusan untuk menarik balik peletakkan jawatan dan meneruskan semula khidmatnya boleh dilakukan selepas siasatan tersebut selesai serta terbukti beliau tidak disabitkan dengan sebarang pertuduhan atau kesalahan.
2. Dato' Othman perlu terlebih dahulu membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan dana KFA.
3. Semasa mengumumkan peletakan jawatannya, Dato' Othman telah menyatakan pendirian bahawa beliau agak tertekan untuk menjadi seorang pengurus yang baik serta yang boleh diharapkan oleh pemain dan peminat kerana beliau tidak lagi mampu untuk bekerjasama dengan kepimpinan KFA yang baru. Dalam hal ini, dengan keputusannya untuk kekal selaku pengurus Kedah menjadi satu persoalan kepada kami adakah beliau mampu dan ikhlas dalam menjalankan tugas sebagai pengurus pasukan Kedah 2009?
4. Surat kenyataan yang dikeluarkan media pada 14 November 2008 yang meminta supaya Dato' Othman Aziz menarik balik peletakan jawatannya tidak diambil melalui keputusan mesyuarat majlis KFA, tetapi hanya melalui satu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden KFA kepada media dan tidak bertandatangan (laporan Buletin Sukan TV3).Persoalannya, apakah seorang Timbalan Presiden lebih berkuasa dari Presiden? Sedangkan Presiden KFA sendiri tidak pernah mempengerusikan sebarang mesyuarat atau memberikan reaksi untuk menerima kembali Dato' Othman sebagai pengurus pasukan Kedah setelah beliau menghantar surat peletakkan jawatannya kepada Setiausaha Kehormat KFA bertarikh 10 November 2008.
5. Seandainya Dato' Othman mempunyai niat murni serta perjuangan yang ikhlas untuk menguruskan pasukan Kedah dengan baik sehingga tahun 2009, mengapa beliau langsung tidak mengambil berat tentang pemilihan pemain baru Kedah serta sesi latihan mereka bagi musim baru akan datang?Di manakah Dato' Othman berada semasa majlis menandatangani kontrak pemain baru yang telah berlangsung pada 5 November 2008 yang lalu? Sedangkan jika ingin menjadi seorang pengurus yang baik, beliau seharusnya mengambil berat serta komited terhadap segala perkembangan pasukan dan pemain tanpa mengira sebarang kemelut yang sedang melanda ke atas dirinya.
6. Banyak pihak di dalam kepimpinan KFA serta kem pasukan Kedah sendiri yang kurang berpuas hati dengan corak pengurusan serta tindak-tanduk yang telah diambil oleh Dato' Othman selama ini terutama keputusannya yang sering membelakangi barisan kejurulatihan Kedah.
7. Melalui kenyataan ini juga pihak HKC ingin mempersoalkan beberapa tindakan yang telah diambil oleh Dato' Othman sepanjang menjadi pengurus pasukan Kedah:
i) Kes yang melibatkan perpindahan Mohd Bunyamin Umar ke pasukan UPB-MyTeam FC.
ii) Kes Zairol Fitree Ishak diarahkan kembali ke pangkuan pasukan Kelantan sebelum pilihan raya umum Mac lalu sedangkan kontrak Zairol Fitree untuk bersama pasukan Kedah selama dua tahun telahpun termeterai.
iii) Bagi kes i dan ii di atas, ini telah melihatkan betapa Dato' Othman tidak mempunyai semangat kenegerian kerana sanggup membiarkan dua orang pemain muda selain masih mempunyai kontrak bersama Kedah kepada pasukan kelab/negeri lain tanpa sebarang pampasan atau yuran perpindahan. Sebagai seorang pengurus yang hebat, sayangkan peminat serta bola sepak Kedah, Dato' Othman seharusnya mempertahankan pemain-pemainnya daripada berpindah ke pasukan lain demi masa depan dan kecemerlangan pasukan Kedah.Atau, adakah Dato' Othman Aziz mempunyai agenda peribadi lain kerana ianya berlaku ketika pilihan raya umum ke-12 sedang hangat diperkatakan.
iv) Membenarkan Baddrol Bakhtiar berlepas ke Chelsea tanpa membuat sebarang perbincangan bersama ketua jurulatih pasukan, Mohd Azraai Khor Abdullah terlebih dahulu serta tidak memaklumkan kepadanya di saat Kedah cukup genting dari segi jumlah pemain yang ada untuk mengharungi perlawanan-perlawanan Liga Super 2007/08.
v) Komitmen terhadap pasukan yang agak meragukan kerana jarang sekali dapat melihat kelibat Dato' Othman di tengah padang untuk bersama-sama dengan pemain dan jurulatih semasa sesi latihan pasukan Kedah kecuali apabila pihak wartawan dan media massa datang ke Stadium Darulaman untuk membuat liputan berkaitan perkembangan terkini pasukan Hijau Kuning.
Adalah difahamkan bahawa, sekiranya Dato' Othman Aziz masih mahu meneruskan niat untuk menjadi pengurus pasukan Liga Super Kedah, satu 'malapetaka' besar bakal melanda skuad Hijau Kuning dan kesannya cukup mendalam terhadap bola sepak di negeri Kedah yang selama ini menjadi 'hiburan' utama rakyat tempatan serta Peminat No.1 Hijau Kuning – KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman sendiri.
Kami juga ingin memohon kerjasama daripada Dato' Othman sendiri supaya tampil ke hadapan bagi megadakan satu dialog ataupun sesi soal-jawab serta bersemuka bersama penyokong-penyokong pasukan Kedah Darul Aman terutamanya HKC. 'Berani kerana benar, takut kerana salah'.
Turut dilampirkan bersama-sama kenyataan media ini ialah keputusan tinjauan yang telah dijalankan melalui undian di dalam Laman Forum Rasmi Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah Darul Aman, HKC (http://www.hijaukuning.com/forum/index.php?showtopic=769) 'Perlukah Pengurus Kedah Dikekalkan?'.
Dan kesimpulan daripada tinjauan dan undian yang telah dibuat ini, majoriti peminat dan penyokong bola sepak di negeri Kedah Darul Aman "tidak bersetuju Dato' Othman bin Aziz untuk terus kekal sebagai pengurus pasukan bola sepak Liga Super Kedah".
"Sokongan Kami Bukan Sekadar Menang, Sokongan Kami Sepanjang Zaman"
(ROMZIE HASSAN HUSIN)
Timbalan PresidenKelab Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah Darul AmanHijauKuning.com
Alor Star, 20 November 2008
*Kenyataan media ini akan dijadikan sebagai satu 'Memorandum Peminat' yang akan dipanjangkan kepada Presiden KFA dan KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman"

No comments:

lagu hot@mahasiswa malaysia