Ketika mengarang ini, mungkin seorang graduan telah terhukum di bawah Auku di UTM. Apakah jenis, bentuk dan corak hukumannya, hal itu tidaklah saya ketahui. Saya tak mahu mempertikai sangat apakah hukuman ke atas beliau berbaloi atau tidak. Yang paling utama, apabila seseorang siswa itu terheret di bawah Auku, ertinya beliau sedang dan akan dizalimi, hatta dengan bentuk hukuman paling kecil sekali pun. Sekali anda terseret dalam Jawatankuasa Siasatan, hati jiwa anda akan terhukumlah sudah dan teruslah anda didera dengan pelbagai kemungkinan. Jiwa anda didera dengan ribuan pertanyaan. Kotak fikiran anda sedang berfikir keras tentang bagaimana mahu menjawab soalan-soalan cepu emas daripada pegawai HEP itu. Nama graduan itu Nazman. Dia lulusan UTM. Dia kemudian menyambung sarjana dalam universiti yang sama. Menurut apa yang saya difahamkan, tindakan ke atasnya itu terkait dengan motif dendam berhubung 'kenakalannya' pada zaman yang lalu. Pendek kata, beginilah.. mungkin kerana tidak dapat mengenakan hukuman ke pelajar ini ketika dia sedang mengambil ijazah sarjana muda, maka peluang itu diambil ketika beliau mengikut ijazah sarjana di universiti yang sama. Sebuah sms beliau melompat ke kantung peti simpanan sms saya, "..Esok adalah hari perbicaraan kes ana kali ke-3. Ana dah jemput media-media untuk buat PC selepas perbicaraan ana, dan ana mungkin saman UTM jika esok mereka berlaku zalim pada ana.. terima kasih atas sokongan anta sebelum ini.." "..Ana ubah pendirian, ana mahu ajar pentadbir UTM yang angkuh ni, biarpun Master ana terkorban. Moga Allah hadiahkan 'master' dari sisiNya untuk ana.." Ajar pegawai HEPSms ini dihantar pada 19 November lalu. Sehingga kini, saya tidaklah tahu apakah bentuk hukuman ke atas beliau. Seperti yang saya ceritakan awal-awal lagi, saya tidaklah peduli sangat apakah bentuk, jenis dan corak hukuman ke atas Nazman. Apa yang paling penting untuk disematkan dalam fikiran kita ialah, ketika Auku ini mula diwujudkan pada tahun 1971, maka ketika itulah kezaliman mula berleluasa ke atas kaum pelajar, warga kampus, pensyarah dan akta ini telah membunuh kemahasiswaan. Akta ini bukan membunuh seorang mahasiswa, malah membunuh 'kemahasiswaan'. Jadi, kalaupun ia tidak menghukum siswa sepanjang tempoh pengajian itu, hakikatnya ia telah membunuh jiwa berani siswa. Warga kampus mahu menulis, bersuara pun rasa takut. Jadi, tanpa menghukum seorang siswa sekali pun, akta ini sudah bertindak zalim lantaran ia telah 'menghukum' 'kemahasiswaan' secara senyap. Pelajar yang asalnya berdaya saing, bersifat suka mencuba itu akhirnya telah lumpuh dan cacat daya kreativitinya ekoran rasa takut yang bersarang di dada mereka itu. Kes Soh Sook Hwa (2005) melawan USM mungkin boleh jadi rujukan. Beliau ini adalah rakan sekuliah saya. Beliau menyaman USM. Hanya, saya tak pasti adakah HEP yang dia saman atau USM? Adakah TNC HEP yang dinamakan atau institusi USM? Bekas TNC HEP kami itu akhirnya 'dibuang' terlontar jauh ke sebuah universiti rebung di Perlis. Dia pun tahu, setelah kontraknya tamat sebagai TNC, tak ada warga kampus yang hormat kepadanya lagi. Semua orang mungkin memulaunya. Jadi baik dibinanya reputasi baru di lain universiti. Jadi, adakah kita mahu saman universiti atau individu? Oleh kerana saya kurang arif hal perundangan, saya mohon mahasiswa atau graduan yang berkecimpung dalam dunia perundangan ini tampil menawarkan jawapan Saya pernah dengar cerita, proses perbicaraan Sook Hwa itu telah ditunda beberapa kali kerana peguam universiti tidak hadir ke mahkamah. Oleh sebab ini bukanlah pengalaman peribadi saya dan Sook Hwa yang lebih memahami apa-apa yang terjadi ke atas dirinya, maka biarlah dia bercerita. Pendek kata, adalah sulit untuk saman IPT. Adakah kita boleh terus saman TNC? Siapa boleh jawab? Biarlah seorang TNC saja yang dimalukan dan kes ini akan terus jadi pengajaran ke atas TNC-TNC yang lain. Dalam kes Sook Hwa misalnya, bekas TNC kami yang buat hal dan dia kini telah 'melarikan' diri ke universiti lain, walhal Sook Hwa menyaman USM. Jadi, USM yang tak bersalah kini menerima padahnya dan orang yang kita buru itu sudah terlepas. Jadi hal ini kita perlu bincang bersama tentang bagaimana mahu memburu TNC-TNC ini supaya jangan ada lagi jerung-jerung yang terlepas. Kita tak menolak bahawa memang ada pegawai HEP yang baik dan membantu siswa dan mereka ini bukan termasuk dalam senarai seperti dalam filem Schindler List. Hanya yang perlu diburu dan diberikan pengajaran adalah mereka yang angkuh dan sombong! Majlis Mangsa AukuSatu masa dahulu, dalam suatu tulisan, saya menulis kenapa mahasiswa tubuhkan GMMI, Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA sedangkan telah wujud GMI Kenapakah tak wujud GMMA (Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku). Tidak lama selepas itu barulah GMMA itu diwujudkan. Namun, ia tidak merakyat. Atau, mungkin mereka sibuk berkuliah? Atau, mungkinkah ia kerana tenaga penggerak GMMA itu bukan dalam kalangan mereka yang pernah dihukum oleh Auku, lalu mereka tak benar-benar menjiwai perjuangan itu? Jawapan itu ada pada mereka sendiri. Kita cuma sekadar ingin bertanya soalan saja. Dalam sebuah perjumpaan meja bulat (tak salah saya ia berlaku pada 10 Julai 2007), saya hadir di Parlimen dalam Sesi Perbincangan Pindaan Auku 1971. Sook Hwa adalah orang yang pertama berucap dan pada akhir ucapan beliau merumuskan tajuk perbincangan itu, bukanlah pinda Auku, tapi kita mansuhkan terus Auku. Perbincangan itu dipengerusikan Datin Seri Wan Azizah dan Dr Syed Husin Ali dijemput sebagai pemudahcara. Yang hadir ialah Tian Chua, Naib Canselor UBU Hishamudin Rais dan beberapa pimpinan parti lagi termasuk mereka yang pernah terhukum di bawah Auku sebelum ini. SB-SB keluar masuk lif silih-menyilih apabila melihat kami naik lif. Saya orang kedua berucap, memutarkan pandangan berhubung pengalaman peribadi dan akhirnya saya setuju dengan ketetapan sulung Sook Hwa bahawa siswa sedang beralih ke sebuah mazhab baru; bukan pinda, tapi mansuhkan Auku. "Maka saya sokong 200% mengenai usul mansuhkan Auku itu," kata saya. Sebagai siswa yang pernah disekat untuk menulis, saya mengupas sepotong nas al-Qur'an yang terilham daripada ucapan mantan Mursyidul Am Pas Yusof Rawa pada suatu ketika dahulu. Bagaimana ceramah Yusof Rawa ini mempengaruhi cara saya berfikir, berhujah dan terus bertindak, memang panjang ceritanya. Tapi, kesimpulannya, berdasarkan kupasan Yusof Rawa itu, saya membuat rumusan bahawa Auku adalah lanjutan warisan Fir'aun. Satu hal yang tak kalah menariknya adalah cadangan menubuhkan MAA (Majlis Mangsa Auku) yang diutarakan dalam sesi perbincangan tersebut. Namun, sehingga kini, ini tidak kedengaran lagi. Agaknya, kalaulah mangsa-mangsa Auku seperti ISA7 digabungkan dan mereka diberikan pentas agar terus berbicara, bergabung bersama GMMA, mungkin akan lebih meriah dan berwarna-warni dunia kampus hari ini. Tidak akan sama orang yang pernah dihukum berjuang dengan orang yang belum pernah dihukum berjuang. Mereka yang terhukum.. jiwa yang telah didera perasaan sebelum ini, itulah nadi penggerak yang membelah ketakutan terhadap apa pun. Mereka lebih mengetahui selok-belok cara HEP berfikir. Dia tahu bagaimana sikap HEP terhadap akademik mereka. HEP tidak peduli sangat hal akademik anda. Dia tidak peduli sedikit pun bahawa anda sedang cemas menantikan hukuman. Kalau anda sedang menjalani peperiksaan, mereka akan teliti jadual peperiksaan anda dan dia akan terus menyusun jadual-jadual tersendiri untuk mengheret anda ke bilik siasatan. Misalnya, dalam dua, tiga hari ini akan ada ujian, maka selepas ujian atau sebelum ujian, anda akan diminta datang ke HEP untuk disiasat. Mereka adalah manusia yang sifar kemanusiaan. Mereka peduli apa soal anda yang resah kerana terpaksa 'study' akademik dan dalam waktu yang sama terpaksa menjawab soalan cepu emas HEP. Mereka cuma risau keselamatan diri dan mahu lepaskan dendam ke atas anda. Itu saja. Nilai kebapaan sifar dan cuma bersikap liar, mencacatkan anak sendiri. Dalam proses siasatan, ketika saya melihat Ketua Penolong Pendaftar minum Nescafe di depan saya dan meneguknya perlahan-lahan, dan ketika melihat air Nescafe itu mengalir antara halkumnya dan tatkala melihat cara dia mengunyah karipap dengan enaknya, hati saya menjerit, "Itu duit PTPTN, JPA dan Mara yang hangpa makan dan minum tu!!" Itu duit rakyat dan wang pelajar. Sungguh kurang sopan dan biadap mereka itu. Tak layak diberikan semacam apa pun penghormatan. Tidak dijemput saya minum. Tiada lafaz kata, "Jemput minum..". Dan, tiada pula dibancuhkan kopi, teh dan juga karipap. Bara betul hati ini saat mengenangkannya. Cis!! Bedebah! Manakah nilai dan adab sopan orang Melayu? Hati kecil saya tertanya-tanya, "Bagaimana insan seperti ini boleh meraih gelaran Dato' dan panggilan terhormat yang lain? Mereka ini membeli gelarankah?" Kepada saudara saya Nazman, anda buatlah apa-apa yang difikirkan terbaik. Kata orang, berdendam itu tidak baik. Pada saya, berdendam itu tiada masalahnya, yang mungkin jadi isu ialah 'membalas dendam'. Jadi, janganlah maafkan HEP. Berdendam sajalah, itu tidak mengapa. Jika saudara mahu balas dendam dengan menyaman UTM, itu sudah baik. Namun, yang terlebih afdal adalah terus mencari kaedah untuk menyaman TNC HEP dan bukannya institusi. Universiti bagaikan tubuh manusia yang sihat. Yang menjadi masalah kini, ialah buah pinggangnya yang telah rosak. HEP bagaikan buah pinggang atau 'tong najis' yang berperanan menjaring hasil kumuhan urea untuk dikencingkan ke tandas. Apabila buah pinggang sudah rosak, bawa saja mesin dialisis (KPT) untuk merawatnya. Tapi, kalau mesin dialisis (KPT) pun sudah korup, jadi kena ikhtiarlah mencari buah pinggang baru dan membuang organ rosak yang lama. Itu saja caranya. Bukan salah kampus mengandung, salah HEP yang tak bertamadun. - Sekolah Pemikiran Kg Baru - - Harakahdaily.net -
Saturday, November 22, 2008
AUKU : Nazman Berkemungkinan Saman TNC HEP UTM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment